Friday, November 12, 2010

siapakah Yahudi? siapakah orang Islam

Artikel ne saya ambil dari akhbar Utusan Malaysia. Saya kira artikel ne sangat menarik dan telah menjawap persoalan saya selama ne. Tujuan saya untuk meletakkan artikel ne dalam blog  hanya memudahkan saya mencari dan membacanya kemudian hari.

Siapa Yahudi? Siapa Orang Islam?

SEJAK 18 hari ini seluruh dunia meratap gara-gara kezaliman Israel. Tentera Zionis terus-menerus mengebom, mengganyang rakyat Palestin. Israel, nampaknya terlalu berkuasa.
Saya tidak 'berkuasa' lagi untuk mengulas panjang mengenai peperangan sebelah pihak itu. Tapi saya ingin berkongsi dengan pembaca sekelian, siapa sebenarnya Yahudi ini dan mengapa mereka terlalu berkuasa.
Kita harus kaji secara akademik, ilmiah untuk mengetahui siapa mereka ini.
Saya amat tertarik dengan tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujuk http://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html) mengenai soal tersebut. Jadikanlah tulisan itu sebagai tatapan dan renungan kita semua - ke mana kita dan ke mana umat Islam harus pergi selepas ini. Dan, siapa yang harus disalahkan? (Nota: Sedikit sebanyak ia juga akan menjawab surat-surat dan SMS yang dihantar untuk ruangan Forum, Utusan Malaysia yang meminta ditonjolkan apakah produk di belakangnya Yahudi).
Begini tulisan beliau:
Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?
Siapa mereka ini?
Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.
Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.
Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.
Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).
Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.
Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.
Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).
Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).
Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).
Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).
Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.
Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.
Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.
Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?
Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.
Mempengaruhi
Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.
Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.
Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?
Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.
Mengapa umat Islam terlalu lemah?
Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?
Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.
AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.
Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.
Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.
Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).
Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.
Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.
Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.
Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.
Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.
Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.
Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.
Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?
Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

Thursday, November 11, 2010

Keganasan dan masalah ekonomi

Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, masyarakat dunia dilanda dengan pelbagai masalah ekonomi bukan sahaja negara-negara sedang membangun malah negara-negara maju turut mengalami masalah ekonomi yang sama. Persoalannya kenapa dunia sekarang semakin lama semakin kelihatan teruk? Masalah ekonomi yang berlaku besar kesannya kepada masyarakat, berjuta-juta manusia akan mengalami kebuluran, kemiskinan, tahap kesihatan terjejas dan kadar kematian terus meningkat. Malah apa yg saya sebutkan ini mungkin hanya sebahagian kecil daripada kesan terhadap masalah ekonomi. Apa yang menyedihkan di negara-negara miskin, dengan keadaan masalah ekonomi yang berlarutan, peperangan terjadi di setiap pelosok negara menyumbangkan kepada penambahan masalah ekonomi-kegiatan pertanian tidak dapat dijalankan, pelaburan asing dihentikan, usaha kerajaan membangunkan sumber ekonomi terjejas yg akhirnya sumber pendapatan negara dan penduduk merundum jatuh. Saya terfikir, jika keganasan dan peperangan dapat di kurangkan sehinggalah tidak adanya perang, kemungkinan masalah ekonomi dapat diatasi khususnya di negara-negara yang sentiasa kacau.Sepatutnya hal ini menjadi misi para pemimpin negara untuk dibincangkan dengan lebih lanjut lagi dalam badan-badan dunia. (negara aman, ekonomi berkembang)
Tidak dinafikan, banyak usaha dijalankan oleh badan dunia untuk membantu masalah ekonomi yang dihadapi oleh mana-mana negara, malah keganasan juga sedaya-upaya dibentras namun usaha tersebut seperti sia-sia apabila keadaan tdk aman terus berlaku. Setiap misi PBB pula seperti tidak lagi memberikan hasil yang memuaskan kepada masyarakat dunia apabila masih banyak negara-negara yang terlibat dalam kencana keganasan. Di beberapa negara di dunia misalnya di Congo,Ethiopia, Niger, Afrika, Republik of Somalia dan beberapa negara lainnya, masalah kemiskinan sangat teruk malah ramai penduduk menanti bantuan kemanusiaan setiap masa. Masalah yang berlaku di negara-negara ini ada kaitannya dengan keganasan yang sukar untuk dihentikan dan kesannya sangat panjang terhadap ekonomi, pembanggunan dan masyarakat.
Nampaknya masyarakat dunia pada masa kini tenggelam dengan arus pembanguan, kemodenan teknologi, persaingan dan semacamnya tetapi tidak sedar bahawa keganasan yang berlaku sangat mempengaruhi kedudukan ekonomi. Kewangan yang digunakan untuk memulihkan semula keamana, membina semula petempatan yang musnah, bantuan yang diberikan kepada mangsa keganasan, kos senjata perang, memulihkan semula kemudahan semestinya mengeluarkan perbelanjaan yang berbilion-bilion. Dalam keadaan negara yang baru sahaja mengalami kekacauan, semestinya sumber ekonomi sukar untuk diperolehi dan disinilah mulanya maslah ekonomi yang berlanjutan.
Adalah lebih baik manusia pada masa kini memikirkan keamana yang lebih memberi manafaat kepada semua.

Friday, November 5, 2010

Islam, Kristian setuju reda ketegangan

PARIS 5 Nov. - Pemimpin-pemimpin Islam dan Kristian semalam bersetuju menubuhkan satu pasukan untuk cuba meredakan ketegangan antara kedua-dua agama terbesar ini, ketika penganut Islam dan Kristian terjebak dalam konflik senjata di Nigeria, Iraq, Mesir dan Filipina.
Pada mesyuarat di Geneva minggu ini, mereka bersetuju mengambil langkah penting bagi memelihara keamanan antara kedua-dua agama ini, daripada membiarkannya terjerumus dalam konflik yang disebabkan oleh persaingan politik, penindasan atau ketidakadilan.
Antara pertubuhan yang menyokong rancangan itu ialah World Council of Churches (WCC) yang dianggotai 349 gereja berlainan di seluruh dunia dan World Islamic Call Society (WICS), rangkaian yang dianggotai kira-kira 600 badan Islam.
Mereka akan menghantar pakar-pakar Islam dan Kristian untuk campur tangan dalam konflik agama bagi meredakan ketegangan dan menyelesaikan salah faham dan pertikaian tentang kepercayaan.
"Kami menubuhkan satu kerjasama kumpulan ini bagi membolehkan kami bersiap sedia berhadapan dengan sebarang krisis yang semakin meningkat berkaitan Islam dan Kristian.
"Kami perlu mencari penyelesaian untuk meredakan krisis agama dan memperbaiki hubungan antara kedua-dua agama ini melalui resolusi konflik dan keadilan," kata pemimpin-pemimpin Kristian dan Islam dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat selama empat hari.
Institut Diraja Aal al-Bayt Jordan dan cendekiawan kumpulan Common Word Islam yang mempromosi dialog antara agama turut menyokong penubuhan pasukan ini, yang telah dibincangkan dengan beberapa gereja sejak dua tahun lalu.
Aref yang menyertai mesyuarat itu berkata, pakar-pakar Islam dan Kristian akan dipilih untuk membentuk pasukan kecil ini dan akan dihantar ke wilayah tercetusnya konflik.
(petikan dari akhbar utusan-6/11/10)
Apa yg saya boleh kata tentang isu di atas adalah semoga usaha ini dapat meleraikan segala kekalutan dalam dua agama ini bukan dari segi kepercayaan yang dianuti kerana tanpaknya kedua-duanya berbeza tetapi yang diharapkan adalah isu senjata tersebut dapat diselesaikan. Kedua-dua agama tersebut tentunya mahukan keamanan tanpa senjata dalam menyelesaikan masalah. Apa pun, konflik bersenjata ini yang berpunca daripada persaingan politik, penindasan dan ketidakadilan. Hal ini wujud  kerana,  apabila suatu agama menjadi majoriti anutan dalam sesebuah negara wujud kemungkinan dua keadaan iaitu pertamanya agama yang menjadi majoriti akan menindas agama yang menjadi minoriti dan keduannya agama yang menjadi anutan minoriti akan bangkit menentang kerana ketidakpuasan pelbagai aspek terhadap agama anutan majoriti.
Apabila wujud isu-isu yang melibatkan kepercayaan diganggu gugat oleh mana-mana pihak maka terjadilah konflik bersenjata yang berlanjutan yang sama sekali tidak menguntungkan mana-mana agama sekalipun.

Thursday, November 4, 2010

Pilihan raya Batu Sapi dan Galas

Kemenangan BN dalam dua pilihan raya kecil yang baru diadakan menunjukkan sokongan warganegara Malaysia kepada pemerintah sedikit pulih. Tetapi kerajaan masih lagi belum berada di tahap yang selesa. Pilihan raya di Galas contohnya menunjukkan kedudukan yang sangat tidak selesa kepada kerajaan walaupun menang dengan majoriti tinggi di Batu Sapi. Apa pun sama ada menang dengan majoriti besar atau tidak segala janji kerajaan harus ditunaikan kerana PRU ke13 nanti adalah penentu kepada mereka sama ada dapat mentadbir semula Malaysia atau tidak. Masyarakat akan menilai kerajaan dari semasa ke semasa dan kemenangan di dua kawasan itu merupakan satu peluang kepada kerajaan untuk menunjukkan dan memunaikan tanggungungjawab terhadap janji yg diberikan. Warga di dua kawasan telah menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih pentadbir mereka dan sudah tiba masanya budi baik pengundi dibalas dengan menunaikan segala janji yg ditabur. 
 Khas buat wakil rakyat Batu sapi yang baru menang berjuanglah untuk membela warga di kawasan yang anda wakili tanpa mengira bangsa dan agama. Anda mencapai kejayaan pada hari ini kerana kepercayaan warga kawasan yang anda waklili dan jika mahu terus kekal menang, menenangi juga hati masyarakat di kawasan yg anda wakilkan.
Bagi pentadbir Malaysia atau BN khususnya, nilailah sokongan masyarakat Sabah terhadap kamu. Kemenangan majoriti besar di Batu Sapi menunjukkan warga Sabah selesa dengan kerajaan. Untuk itu dengarlah segala permintaan warga Sabah untuk memajukan negeri tersebut dan berikanlah peruntukan yang lebih besar (bukan sekadar 10 bilion tapi lebih dari itu) untuk kemajuan negeri Sabah di segala pelusuk negeri itu. Pada PRU ke 12 yang lalu kerajaan masih terselamat untuk mentadbir Malaysia kerana sokongan yang diberikan oleh pengundi Sabah dan Sarawak untuk memlilih BN. Dan jika kerajaan mengabaikan rintihan warga Sabah dan Sarawak sokongan itu mungkin akan beransur-ansur hilang. Jadi bertindaklah segara menunaikan  segala janji PRU yg lalu sebelum PRU yg akan datang diadakan.

Monday, November 1, 2010

Kenapa Yahudi sering disalahkan?

Seringkali saya mendengar orang Yahudi@Israel disalahkan dengan segala perkara buruk yang berlaku. Adanya hiburan, maksiat, jenayah semuanya dikaitkan dengan orang Yahudi. Selalu juga saya dengar hiburan itu teknik orang Yahudi menjatuhkan masyarakat lain, tapi kenapa mereka disalahkan sedangkan mereka juga manusia ciptaan Tuhan. Apakah orang Yahudi menghalalkan perbuatan keji apabila mereka dituduh sedemikian rupa. Orang Yahudi pun ada pegangan agama sama seperti agama2 lain yang melarang perkara jahat dilakukan. Jadi, sebelum menuding jari menyalahkan masyarakat Yahudi kita ingat dahulu asal nabi-nabi kita dari  mana. Cuba fikirkan? Pendek kata jangan salahkan siapa-siapa atau kaitkan mana2 masyarakat di dunia ini dengan yang berlaku di sekitar kita. Jenayah, maksiat, hiburan, rasuah, dan macam-macam lagi, itu semua keinginan individu. Malah di tempat kita ini pun yang tidak mengadakan hubungan apa pun dengan Yahudi berlaku perkara sedemikian rupa. Sebap kenapa? semua itu kehendak peribadi. Kalau bukan kehendak peribadi, walauapapun yang diterapkan oleh orang Yahudi tidak akan menjadi.
Menyentuh mengenai isu Israel-Palestin, ini memang sudah lama berlaku. Bagi saya, kita tidak perlu memanipulasikan keadaan yang berlaku di dua negara tersebut yang sering dikaitkan dengan agama. Perkara-perkara yang berlaku di negara tersebut  semuanya isu kemanusiaan.Bukan niat saya untuk menyanjung orang Israel tetapi kita harus berfikir dan beringat bahawa jangan disebabkan isu negara luar yang tidak ada kepentingan dalam negara kita menjadi isu negara kita pula. Banyak lagi isu-isu di negara ini yang kita perlu fikirkan.