Thursday, December 8, 2011

AGAMA(kepercayaa) DAN PENAGRUH KEIMANANNYA

Agama yg dianuti oleh seseorang membentuk satu kepercayaan dalam diri seseorang.Ajaran2 agama akan membina keimanan atau keyakinan kepada apa yg kita percayai. Membina keimanan atau keyakinan terhadap agama yg kita percayai bukan sesuatu yg mudah. Terdapat pelbagai persoalan yg timbul dalam diri kita sehingga kadang kala apa yg manusia fikir itu merosakkan keimanan kita. Di dunia ini banyak hal2 telah terjawab dengan kajian sains tetapi setakat ini belum ada saintis pernah dapat menjawab bahawa kenapa bumi ini wujud  dan kenapa manusia ini wujud. Banyak hal2 yg berlaku mampu meruntuhkan keimanan manusia atas apa yg berlaku di sekeliling. Sebab itulah banyak manusia masa kini hidup tanpa pegangan keagamaan atas dasar agama yg mereka percayai tdk mampu memberikan keyakinan mereka yg teguh.
Agama juga banyak yg timbul atau di wujudkan atas dasar mencari kebenaran. Banyak penganut2 sesuatu agama juga sering bertelagah atas kepercayaan yg mereka yakini sehingga menyebabkan kematian. Sering terjadi bahawa penganut suatu agama itu mendakwa bahawa agama yg dianutinya adalah yg paling benar, sahih, terbukti dan segalanya dan menyatakan bahawa agama yg di percayai oleh individu lain adalah salah.
Sehingga bumi ini berakhir, kita manusia yg memiliki pengaruh keimanan yg berbeza berdasarkan perbezaan agama kita tidak mampu menyatakan bahawa kristian, islam, yahudi, hinddu itu benar.
Apa yg kita perlu buat untuk menguatkan keimanan kita sebagai manusia yg mempunyai kepercayaan masing2 adalah terus2 meyakini apa yg kita  telah kita pegang dan jangan sesekali menukar keyakinan itu pada kepercayaan lain sebab satu kemungkinan yg terjadi adalah kita menyesali penukaran kepercayaan kita bila di akhir hayat kita kepercayaan pertama kita itulah yg benar. Membina keimana dari agama yg kita yakini haruslah tetap dan tidak berubah.TUHAN MEMBERKATI.

Wednesday, November 23, 2011

SEKADAR PANDANGAN DARI FIKIRAN (apa itu keadilan)

Memikirkan tentang keadilan yg ada dalam dunia ne, rasanya makin terhakis hari demi hari. Manusia setiap hari menuntut keadilan yang hanya mengikut pandangan atau persepsi mereka sendiri. dan tidak mengikut norma hidup manusia sekitar. Pada masa kini, kita sering mendengar pergolakan negara2 luar yang tidak ada penghujungnya, krisis di Mesir atas tuntutan rakyat yg mahukan keadilan presiden yg memerintah meletak jawatan. di Libya pemimpin nombor satu negara dijatuhkan dengan penuh tragis selepas bertempur berbulan-bulan lamanya. Semua ini berlaku atas satu tuntutan iaitu mahukan keadilan bagi rakyat. Tetapi apa yg menghairankan apabila pemimpin yg dikatakan tidak adil itu jatuh dan diangkat semula seorang pemimpin yg menurut pandangan umum seorang yang adil akhirnya dituntut semula untuk turun dari kempiminan. APAKAH SEBENARNYA DEFINISI BAGI KEADILAN ITU. Bagaimana kita mengatakan seorang pemimpin itu adil dan dapat memberikan kemajuan jika hanya baru setahun memerintah.
Dalam isu yang lain pula, dalam hal-hal kecil yang dilalui seharian kita juga sering merasa tidak adil dalam satu penyelesaian yang di perolehi. Contohnya, ketidaksamarataan dalam  pembahagian wang pun terjadi dan banyak aspek lagi....keadilan itu sukar untuk kita perolehi tetapi apa yang nyata kita merasa cukup dengan apa yg ada. Manusia ne hidup dengan penuh ketidakpuasan, merasa semua yang diperolehi tdk memadai. meskipun mensyukuri apa yg diperolehi tetapi mencari yang benar-benar memuaskan...Manusia oh manusia bersikap la seperti Tuhan,Allah yg menciptakan segalanya sebab kita ini di bentuk menurut ciptaan Tuhan.

Friday, October 28, 2011

blog aku...

lama pula rasanya tak buka blog aku ne.....pas ari ne nak tulis apa2 ja lan :)

Monday, August 15, 2011

kesedihan...

Adalah sesuatu yg sukar untuk dihadapi dan dilalui bila orang yg kita sayangi berada dalam kesakitan dan disaat itu berlaku kita tidak pula bersama mereka. Kalau ada keupayaan keawangan mahu saja saya berhenti dari pratkum tetapi atas nasihat keluarga yg disayangi mereka menegah sy berbuat demikian. Bukan sy berfikiran kejam tetapi sy terfikir juga adakah bapa akan sembuh kalau pn sy tdk menghabiskan prtkum ne sedangkan apa yg sy usahakan sekarang adalah usaha dan harapannya juga. Apa yg perlu sy lakukan sekarang ne hanyalah bersabar dan terus bersabar. saya tau jangka masa sy di sini juga tidak lagi lama dan apa pn yg terjadi pada diri sy dan keluarga sy harus laluinya juga. sy sangat yakin kasih tuhan masih melimpah bagi bapa. jadi sy harus menenangkan diri.
Bapa disahkan kanser usus tahap 4 oleh doktor dan tdk ada cara lagi tuk merawatnya. hanya satu cara utk membantu dia ialah memasukkan sejenis alat pada perutnya utk membesarkan ruang perut yg sudah tertahan dengan ketumbuhan yg berlaku. e2 pn hanya untuk membantunya makan dan bukan cara menyembuhkan atau merawatnya. tetapi sy yakin tuhan akan membantu dia supaya sihat semula asalkan dia mampu makan semula. sy yakin selagi jantung bapa berdenyut dia tetap dapat sembuh sebab kuasa tuhan adalah ubat yg terbaik daripada ubat hospital. SY SANGAT BERHARAP BAPA AKAN SEMBUH SEMULA MEREALISASIKAN IMPIAN KAMI UTK MEMBINA RUMAH BARU DAN SEGALA YG TELAH KAMI RANCANG SEBELUM INI.

Monday, August 8, 2011

AKHIR PERJUANGAN KU

Tinggal 13 hari lagi saya akan menghabiskan hari-hari terakhir dalam menjalani hidup sebagai guru pelatih sebelum menjadi guru sebenar beberapa bulan akan datang.Namun di akhir perjuangan ini, saya terpaksa menghadapi saat genting bila Bapa di masukkan ke hospital. Saya merasakan seluruh impian saya hancur. Segala angan-angan saya untuk menunaikan segala hajat untuk keluarga hancur sekali. Tapi syukurlah masih ada kekekuatan untuk terus berjuang dan saya malah sangat yakin bahawa Tuhan akan berserta kami untuk untuk segala cabaran yang dihadapi. Saya sangat yakin juga apa pun keadaan bapa akan sembuh sebab masih banyak lagi yang saya perlu buat yang memerlukan bapa ada dan biarlah kalau boleh saya pergi dulu dari ibubapaku.
Saat akhir ini saya akan teruskan usaha untuk mereka dan apa yg mereka usahakan untuk saya sehingga kini.

Sunday, July 31, 2011

akhir pratikum

sedar tak sedar dan nak habis prtkum. sekarang da minggu ke 11 pn. bermakna tinggal 3 minggu lagi berprtkum.gembira rasanya tapi rasa sedih juga sebab tingalkan pelajar2 saya ne. walaupun d org ne nakal2 tak la jahat. periang pula semua tu. sayang dengan kamu semua....

Wednesday, June 8, 2011

Aktiviti masa cuti sekolah

Cuti sekolah 2 minggu saya rasa tidak la lama sangat. Kalau boleh nak tambah lagi cuti sampai sebulan. Tapi macam melampau pula kan. Aktiviti saya 2 minggu cuti ne banyak berjalan pula. Mula2 saya bergerak dari Setiawan ke Tanjung malim. Pas tu sy bergerak ke Klang dan ke Subang pula. Lepas beberapa hari di Subang sy bergerak ke Klang lagi pula sebelum pualang balik ke setiawan.hu.........best juga trval2 ne.
Suatu yang sangat menarik di klang ne, adui...betul2 tidak sama dengan bandar lain. Kotornya dan busuknya sangat menusuk hidung.terlalu kotor. sungai klang tak payah cakap. tengok dengan mata ja pn, mata da penat tengkok pencemaran yg berlaku..huuuu.sangat2 tercemar. masalah ini berlaku, bukan salah sungai tu tapi salah manusia tdk pandai menjaga alam sekitar.

Saturday, May 28, 2011

Minggu ketiga pratikum

Minggu ketiga pratikum ne tiada juga beza dengan minggu sebelumnya. Balik2 ganti kelas guru-guru yang malas dan yg ada MC. Hari akhir minggu ketiga ada sambutan hari guru. Kami yang guru pratikum ne kena jadi urusetia aktiviti. huhuhu.Hadiah hari guru kena bg kontena, pen 3 batang n kek mufin. Ok la juga daripada tida langsung.
Lupa nak cerita pula.Keputusan exam tuk sem 7 pun dapat. Syukur sangat2 sebab target saya tuk sem 7 dapat malah lepas dari sasaran yg sepatutnya. TERIMA KASIH TUHAN.TERIMA KASIH KELUARGA DAN KAWAN2. Tapi e2 ja la keputusan yg paling baik sy dapat. Harap2 last sem ne dapat yg terbaik juga.
Sejak mula prtkum ne mata sy jadi automatik pla bangun jam 6 walaupun cuti.Alamak...org nak juga bangun lewat, bukan ada apa pun nak buat cuti2 ne.hehehe. Ok la nanti sambung cerita lain lagi. kalau ada masa nak cerita politik pula.hahaha.

Sunday, May 15, 2011

minggu kedua pratikum

Minggu pertama pratikum dapat dilalui dengan baik. Minggu pertama belum lagi melaksanakan pengajaran tetapi hanya menjaga pelajar peperiksaan mengantikan beberapa guru yang tidak ada. Satu hal yang saya pelajari daripada budaya guru-guru di tempat saya berpartikum ialah mereka walaupun mempunyai pendidikan yang tinggi tetapi seperti otak yang tdk pandai berfikir. Mereka harus faham kami ne guru yang baru hendak mula melangkah masuk dlm alam perguruan dan banyak hal yang kami tdk tahu dan perlu pelajari apa yang kami tdk tahu. Tetapi jika kami ne seperti disisihkan oleh sesetengah malah kebanyakan guru2 apa ilmu yg kami dapat untuk diberikan kepada pelajar. Tolonglah guru2 yang da senior tu, bimbing kami dan jangan buat kami ne seperti menganggu kerja2 kamu.
Kami tdk mahu lebih apa2 perkara daripada kamu, kami hanya mahu dibimbing menjadi guru yang sebenar, mampu mendidik murid2 dengan baik. Tolong jangan kelurkan kata2 yang menunjukkan cikgu ne tdk berpengetahuan. Paling penting janganlah guru2 sekalian menjadikan sekolah tempat untuk mengutuk dan mengumpat orang atau guru2 lain. Kalau guru kencing berjalan murid nanti kencing berlari. e2 la hasil yg cikgu2 dpt nanti jika mengamalkan budaya buruk tu.

MINGGU KEDUA
Buat sambutan hari guru(16 mei 2011). Dengar perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan  Menteri Pelajaran. Dengar ucapan pengerusi PIBG, Pengetua dan PPD. Pas tu makan2, e2 pun ada juga sungutan bukan2 guru2 senior, ingat kita tdk bayar ke dng makanan tu. Pas tu ganti kelas entah ckgu siapa pn sy tdk tau. Sesi bergambar, kena lagi guru2 pratikum, mcm la kami ne nak sangat bergambar. Celupar benar mulut ckgu2 kat sini. Kalau kami tak di perlukan tuk bergambar bagi tau ja la awal2. Kami pun tak ingin. Buang  masa ja. Banyak benda lain lagi nak buat.

Monday, May 9, 2011

HARI PERTAMA PRATIKUM

Pengalaman hari pertama pratikum di SMKAB tidak ada apa2 yang menarik sangat. Pada hari ini kami hanya berjumpa dengan penolong kanan 1 dan beberapa guru kanan yang lain untuk pembahagian mata pelajaran. Pada minggu ini kami tidak akan menjalankan pengajaran kerana semua menduduki exam. Menurut PK 1 kami mungkin akan mula mengajar selepas cuti hujung bulan Mei.Pas tu jadual kelas kami juga akan diberi selepas jadual disusun oleh guru jadual mata pelajaran.
Pada ari ne juga kami berkenalan dengan kawan2 yg bt prtkum di sekolah yg sama.Sempat juga la berkenalan dengan beberapa guru n kwn2 yg tengah bt prtkum sekarang. Mereka ne tingal nak habis lagi nak berprtkum.
Best juga kami pergi sekolah SMKAB jalan kaki pula,huhu. Tak apa yang penting save baget.haha.
Prtkum ne kena bt btl2 alang2 jadi guru kan, duit pun da entah berapa habis.Jadi berjuang la walaupun susah. Da la saya ne susah2 datang ke semenanjung bukan senang pula tu. Apa pun Thank You God...love my Eni n Apaa....

Thursday, May 5, 2011

BAHAGIAN 1: PERJALANAN KE SETIAWAN

Semester ini (9 Mei-26 Ogos 2011) saya berada di semester akhir pengajian di UPSI dan sudah menjadi kebiasaan di universiti ini pelajar di tahun akhir pengajian akan menjalani latihan mengjar di mana-mana sekolah yang dapat menerima guru pelatih. Dan saya telah memilih salah sebuah sekolah di Setiawan Perak, 4 jam perjalanan dari Tanjung Malim.
Perjalanan saya ke Setiawan pertama kali pada 3hb Mei 2011 dengan sahabat baik saya. Saya pula terpaksa menumpang di rumah sepupu sahabat saya untuk meneruskan perjalanan di Setiawan pada esok harinya. Melalui satu kawasan yang baru bukanlah mudah kerana penuh dengan keraguan dan ketakutan sesuatu perkara yang tidak di jangka akan berlaku tetapi akhirnya semua perjalanan berakhir dengan selamat. Saya bertemu denga sahabat yang membuat pratikal di tempat yang sama di Bota dan meneruskan perjalanan ke Setiawan. berjumpa dengan pengetua dan mencari rumah. semua berjalan lancar dan sekitar jam 2 petang kembali semula ke Ipoh.
Tetapi apa yang saya lalui ni tidak seperit yang dilalui oleh dua org sahabat saya, di tolak sekolah sebanyak dua kali dan terpaksa membelanjakan wang yang banyak di saat PTPTN kami belum dimasukkan lagi. Semua itu sangat memeritkan untuk di fikir. Fikir wang perbelanjaan perjalanan, sewa rumah, belanja makan dan sebagainya. Pendek kata semuanya difikirkan. Apa pun saya yakin kami semua kuat untuk mengatasai segala halangan ini...GBU my all best fnd...

Awal perjalanan sebagai pendidik(guru)

Keputusan mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan 3 tahun lalu ternyata memberi sedikit tekanan dalam diri saya pada saat akhir pengajian. Impian saya menjadi seorang guru ternyata Tuhan kabulkan dan saya bersyukur tentang itu tetapi tanggungjawab sebagai seorang guru tidak semudah saya sangkakan. Tanggungjawab saya sebagai seorang guru sekarang telah bermula sebagai seorang guru pelatih dan saya tidak yakin sama ada saya mampu untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini atau tidak. Saya cuma berharap suatu masa nanti semangat pendidik itu dapat meresap dalam diri saya supaya dapat memberikan yang terbaik kepada pelajar. Untuk masa-masa akan datang saya akan menceritakan pengalaman saya sepanjang menjalani latihan mengajar di sebuah sekolah di Setiawan Perak.

Monday, April 18, 2011

LATAR BELAKANG MASYARAKAT RUNGUS

Sehingga kini tidak terdapat sumber yang sah yang mengatakan asal usul masyarakat Rungus dan terdapat pula pelbagai cerita mitos dan legenda yang membincangkan tentang asal usulnya. Masyarakat Rungus percaya bahawa mereka adalah berasal daripada keturunan Aki Longguwai yang berasal dari Brunei.[1] Mereka berpendapat bahawa, asal usul suku kaum mereka dan Dusun pada masa dahulu mempunyai pertalian keluarga iaitu, yang sulung bernama Aki Longguwai dan adik bernama Aki Runsud. Memandangkan suasana kehidupan mereka di situ kurang selesa dan tidak tenteram maka mereka pergi merantau.[2] Di Brunei pada masa itu masyarakat Rungus menghadapi masalah dari segi mencari kawasan hutan yang baru untuk diterokai. Selain daripada itu, wabak penyakit juga sering berlaku dan ini mengancam kehidupan mereka.[3] Disebabkan keadaan tersebut, mereka telah merantau untuk mencari satu tempat tinggal yang baru dan akhirnya mereka sampai di Kudat seterusnya menetap di kawasan itu.
Menurut Arena Wati, jika ditinjau dari segi etnologi, jelas bahawa mereka adalah dari rumpun Mongol yang kulit mereka berwarna kuning langsat seperti orang Cina serta bentuk tubuh badannya yang kecil dan agak pendek.[4] Orang Rungus mungkin berasal dari China tetapi telah berhijrah ke Asia Tenggara hingga sampai ke tempat yang mereka tinggal sekarang. Dari segi antropologi pula, orang Rungus banyak persamaan dengan orang Shan dan Kachin di bahagian utara negara Burma.[5]
Berdasarkan pendapat beberapa penulis seperti Arena Wati, beliau menggolongkan Rungus sebagai Dusun, begitu juga dengan pendapat G. N Appell meletakkan Rungus sebagai sub suku kepada Dusun. Tetapi bagi Thu En Yu dan Joseph Pairin Kitingan, mereka menggolongkan Rungus dalam suku Kadazan. Bagaimanapun, suku Rungus lebih suka mengidentifikasikan diri mereka sebagai Momogun atau Pasok Momogun yang bererti penduduk asli.[6]
Suku kaum Rungus merupakan salah satu daripada berpuluh-puluh kaum peribumi di Sabah. Suku kaum ini tinggal di Pantai Barat Utara khususnya di Pinawantai, Matunggung, Sikuati di Kudat, Kirangawan, Betutai, dan Toporoi di Kota Marudu serta Konibungan, Bongkol dan Pantai di Pitas.[7] Semua kawasan yang dinyatakan penduduknya adalah majoriti berbangsa Rungus, dan sememangnya penduduk asal bagi kawasan tersebut. Jika terdapat kaum Rungus di kawasan lain itu hanya berlaku disebabkan penghijrahan sama ada mencari peluang pekerjaan, melanjutkan pelajaran ataupun telah berkahwin dengan kaum lain.

Dari segi bahasa, orang Rungus mempunyai bahasa suku yang dikenali sebagai bahasa Rungus. Bahasa Rungus termasuk dalam keluarga Dusunic iaitu sebahagian daripada kumpulan Austronesia Indonesia Utara dan terdapat 5 kumpulan bahasa Rungus iaitu Nulu, Gonsomon, Rungus, Pilapazan dan Gandahon.[8] Penuturan kata dalam kumpulan-kumpulan bahasa ini adalah berbeza tetapi mempunyai makna yang sama. Bahasa Rungus diiktiraf sebagai salah satu daripada 41 suku dalam Persatuan Kadazandusun Sabah.

Perkampungan dan Kediaman Masyarakat Rungus
Perkampungan dan kediaman masyarakat Rungus dibentuk melalui komuniti masyarakat yang tinggal dalam rumah panjang. Kediaman rumah panjang ialah satu ciri yang sudah terkenal dalam organisasi masyarakat Rungus di Kudat dan bentuk rumah ini sememangnya sinonim dengan masyarakat yang mendiaminya. Rumah panjang kaum Rungus di Kudat dianggap sebagai paling unik dan sentiasa menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri.[9]  
Rumah panjang adalah satu unit kediaman yang penting dalam masyarakat Rungus disebabkan peranannya dalam membentuk perkampungan yang mempunyai sejumlah penduduk di bawah pimpinan oleh Orang Tua atau Ketua Kampung. Menurut Lee Yong Ling, rumah panjang ialah sejenis bangunan yang memanjang dan dibina di atas tiang kayu keras dengan ketinggian antara 15 hingga 20 kaki dari tanah dan menganjur sejauh kira-kira 100 ela atau lebih di sepanjang perkampungan.[10]  Setiap ruang dalam rumah panjang dipunyai oleh sebuah keluarga yang terdiri daripada sebuah bilik besar(ongkob), sebuah loteng(abai), dapur di dalam bilik, sebuah anjung (dapad), sebuah pelantar(lansang) dan tempat mencuci pinggan mangkuk(salou).[11] Purata penghuni dalam satu bilik dalam rumah panjang ialah lapan orang bergantung pada bilangan anak yang terdapat dalam sebuah keluarga. Walaupun rumah panjang kelihatan seperti sebuah rumah sahaja dengan atap yang tersambung, tetapi di bahagian dalam rumah tersebut terdapat banyak bilik yang terpisah-pisah menempatkan  setiap satu unit keluarga.
    
Bilangan ruang dalam rumah panjang bergantung dengan jumlah penduduk yang tinggal dalam sebuah rumah panjang iaitu sama ada bilangan tersebut bertambah atau berkurang. Pada awal penubuhan rumah panjang, bilangan penghuninya sentiasa bertambah tetapi setelah sekian lama bilangan penghuni menurun disebabkan penyakit yang melanda, perpindahan sesebuah keluarga kerana kehilangan kesuburan tanah untuk pertanian dan berlaku pertengkaran dengan jiran.[13]  Kebanyakan rumah panjang orang Rungus besar dan panjang dan terdiri daripada 20 hingga 60 buah bilik dengan purata penghuni 100 hingga 150 orang.[14] Menurut Appell, jumlah penduduk dalam sebuah kampung masyarakat Rungus adalah pelbagai iaitu sekitar 40 hingga 400 orang.[15]  
Tujuan pembinaan rumah panjang bagi masyarakat Rungus adalah sebagai langkah keselamatan seperti serangan pemburu kepala, dapat memberikan bantuan kepada orang sakit dan faktor perkahwinan iaitu menantu harus tinggal dengan mentuanya selama satu atau dua tahun sebelum membina rumah di sebelah rumah mentuanya.[16] Rumah panjang adalah strategi kelangsungan hidup dalam suasana hidup yang amat tidak pasti dan mengancam. Sebagai komuniti yang hidup dalam kawasan pedalaman dikelilingi dengan hutan hujan tebal, haiwan liar, terdedah kepada keadaan alam yang tidak diramal dan manusia lain yang hidup berhampiran, orang Rungus terpaksa bergantung pada anggota kumpulan untuk saling membantu menyara hidup seharian.[17] Dengan binaan rumah panjang yang memanjang dan menempatkan seluruh penghuni dalam sebuah kampung, keadaan tersebut akan menimbulkan rasa selamat sesama mereka kerana mudah untuk saling berhubung apabila terjadi sesuatu yang tidak di ingini.
            Masyarakat Rungus dipimpin oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Vozoon yang bertanggungjawab mentadbir dan mengurus penghuni yang mendiami sebuah rumah panjang.[18]  Vozoon dikenali juga sebagai Orang Tua atau Ketua Kampung dalam masyarakat Rungus. Ketua Kampung bertanggungjawab terhadap anak buah untuk menjaga keamanan dan memberi perlindungan.[19] Ketua Kampung biasanya dipilih dari kalangan orang-orang tua yang berkaliber, mempunyai pengetahuan tentang adat dan dihormati dalam masyarakatnya.
Kepimpinan dalam rumah panjang juga melibatkan sekumpulan individu yang dikenali sebagai Osukod iaitu orang dewasa yang mempunyai pengetahuan tentang adat dan undang-undang masyarakat Rungus.[20] Osukod berperanan sebagai juri dalam sesebuah kampung apabila terdapat individu tertentu yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dalam kelompok masyarakat rumah panjang .
Golongan agama yang dikenali sebagai bobolizan juga antara individu yang terlibat dalam kepimpinan rumah panjang dan sentiasa disegani. Mereka pakar dalam upacara-upacara keagamaan dan memandu masyarakat agar bertindak mengikut lunas-lunas adat bermasyarakat. Pada kebiasaannya, golongan ini harus hadir dalam upacara-upacara kelahiran, pelancaran penanaman padi, perkahwinan, kematian dan lain-lain upacara penting dalam masyarakat.[21]
Untuk menjaga keamanan dan sebagai unit pertahanan dalam rumah panjang, Mononsiou(pahlawan Rungus) menjalankan peranannya untuk melindungi segala isi rumah panjang apabila berlaku serangan dari kaum lain. Pahlawan Rungus ini berani dan mahir dalam pertempuran dan mereka ditempatkan di kedua-dua hujung rumah panjang agar dapat mengawal keselamatan penghuninya.[22]
Perkampungan kaum Rungus tradisi adalah rumah panjang yang dihuni oleh sejumlah keluarga yang membentuk anggota masyarakat. Anggota masyarakat ini pula di atur oleh golongan yang berpengaruh dan berpengetahuan tentang adat bagi mengorganisasikan ahlinya agar mematuhi peraturan kediaman dan perkampungan mereka.
Kepercayaan Masyarakat Rungus.
Masyarakat Rungus tradisional mempunyai kepercayaan yang tersendiri yang dikenali sebagai kepercayaan animisme. Kepercayaan itu didasarkan kepada pengertian bahawa semua dalam alam semesta ini mempunyai roh seperti pokok, batu, sungai, laut, huma, rumah dan sebagainya.[23] Kepercayaan masyarakat Rungus telah membentuk adat atau pantang larang yang mengatur kehidupan mereka seharian. Gambaran tentang kepercayaan dan pantang larang masyarakat Rungus pernah ditulis oleh Rev. Traugott Forschner, semasa British memerintah Sabah. [24] Menurutnya, terdapat seorang individu yang dikenali oleh orang Rungus sebagai Tuan Ligis. Tuan tersebut telah meminta masyarakat Rungus untuk menanam kelapa, getah dan bersawah padi tetapi, jawab pemimpin Rungus pada masa itu yang dikenali sebagai Tumanggung;
“Kami tidak akan mengorek tanah sebab menyebabkan kematian kami dan
 kami tidak akan membina tali air sebab menyebabkan kami sakit.”[25]

Tindakan Tumanggunag tidak menerima pendapat Tuan Ligis adalah disebabkan adat yang melarang mereka daripada melakukan segala kerja-kerja yang melibatkan pengorekan tanah. Masyarakat Rungus percaya pada masa itu bahawa perbuatan mengorek tanah hanya dilakukan apabila adanya kematian dan jika mereka membina tali air di kawasan yang sesuai untuk penanaman padi sawah itu akan mengganggu semangat yang tinggal di kawasan tersebut dan menyebabkan mereka sakit.
            Pada pandangan kaum Rungus, dunia yang mereka diami dihuni oleh semangat baik dan jahat.[26] Semangat baik membantu manusia dalam aktiviti seharian sementara semangat jahat membawa penyakit dan bencana alam jika diganggu. Hidup mereka sentiasa terikat dengan satu bentuk interaksi yang mistik dengan alam semula jadi. Mereka sentiasa percaya dengan kewujudan pelbagai semangat yang menghuni di sekitar mereka. Kebahagiaan dan keselesaan yang mereka alami sangat bergantung dengan hubungan yang mereka jalani dengan semangat yang ada di sekitar mereka.[27] Memberi gangguan kepada semangat yang ada di sekitar mereka bermakna mengundang kesukaran kepada diri sendiri dan keluarga. Hubungan dengan alam sekeliling sentiasa dijaga melalui pematuhan terhadap pantang larang yang telah ditetapkan.
Kaum Rungus percaya dengan kuasa Kinoringan atau Minamangun[28] yang mereka anggap sebagai dewa yang menciptakan dunia. Kinoringan dipercayai menetap di langit dan menguasai segala makhluk  yang ada di dunia termasuk manusia, hantu, binatang dan tumbuh-tumbuhan. Orang Rungus percaya bahawa Kinoringan mempunyai kuasa untuk menghidupkan dan mematikan manusia.[29] Kinoringan itu lebih berkuasa daripada semua roh dan dewa yang lain tetapi Dia jauh dari dunia ini.[30]  Walaupun Kinoringan dianggap amat berkuasa, tetapi tidak memerintah makhluk di dunia ini secara langsung tetapi melalui Sambavon.
Sambavon ialah kuasa luar biasa yang baik dan menjadi wakil Kinoringan untuk memerintah makhluk-makhluk dunia.[31] Masyarakat Rungus tradisi percaya bahawa Sambavon yang menjadi wakil kepada Kinoringan untuk memerintah bumi tinggal di langit tetapi tidak setinggi tempat tinggal Kinoringan. Walaupun Kinoringan berkuasa baik menjaga dunia melalui Sambavon, tetapi apabila pantang larangnya dilanggar menyebabkannya marah dan mendatangkan malapetaka kepada manusia.
Kuasa rogon(hantu) kuat mempengaruhi kepercayaan kaum Rungus tradisi. Mereka yakin kuasa rogon adalah jahat dan tidak seperti Kinoringan yang memberikan mereka kebaikan. Rogon dipercayai tinggal di kawasan-kawasan seperti sungai-sungai, batu-batu besar dan pokok-pokok besar.[32] Disebabkan sifat rogon yang jahat, kuasa ini akan mengganggu manusia apabila terdapat perlakuan manusia yang tidak baik seperti telah mengganggu tempat tinggalnya. Orang Rungus percaya rogon selalu menawan roh manusia untuk mendatangkan penyakit dengan harapan keluarga pesakit akan mengorbankan beberapa ekor babi dan ayam untuk dipersembahkan kepadanya.[33]
Terdapat pelbagai jenis rogon yang di percayai dan ditakuti oleh kaum Rungus antaranya ialah, rogon dupot(hantu binatang), rogon minatai(hantu orang yang sudah meninggal), rogon ompulalangoi(hantu yang tinggi), rogon motitiu(hantu yang mempunyai cahaya), rogon mongonsul(hantu yang bersiul pada waktu malam) dan Babalan(hantu yang ketawa pada waktu malam).[34] Semua jenis hantu tersebut ditakuti oleh kaum Rungus kerana mereka beranggapan hantu-hantu tersebut akan mengganggu dan mendatangkan pelbagai bencana yang tidak diingini.
Selain percaya kepada Kinoringan dan rogon, kaum Rungus juga percaya kepada roh-roh yang wujud di sekitar mereka. Roh seperti roh di hutan, roh di pokok, roh di laut, roh di air, roh di ladang, roh di batu dan singkatnya segala sesuatu mempunyai roh sendiri dengan nama masing-masing.[35] Dengan demikian, dunia keagamaan suku kaum Rungus tradisional penuh dengan roh di sekeliling hidup mereka sehingga dalam tubuh mereka pun terdapat roh-roh seperti Lugu, Guvas dan Piuhalan.[36] Mereka harus mematuhi tuntutan-tuntutan roh yang ada di sekitar mereka bagi mengelakkan berlakunya perkara yang tidak diingini.
Jika melanggar pantang larang yang ada kaitannya dengan kuasa rogon dan roh, malapetaka atau bencana akan menimpa seseorang atau keluarganya. Malah  bencana juga boleh melanda seluruh masyarakat rumah panjang bergantung pada kesalahan yang telah dilakukan. Antara pantang larang yang menimbulkan kemarahan rogon ialah seperti larangan membawa jantung pisang, limau dan larangan membawa naik ke rumah barang-barang keperluan untuk upacara pemujaan, tidak dibenarkan membakar ayam dan babi di dapur, tidak dibenarkan mengadakan pesta tanpa ada kaitan dengan penyembahan ke atas rogon terlebih dahulu dan pelbagai lagi pantang larang yang lain.[37] Jika seseorang telah melanggar pantang larang yang telah ditetapkan, perdamaian dengan kuasa-kuasa tersebut harus dilakukan segara.[38] Untuk memulihkan keadaan, persembahan korban dilakukan sebagai korban perdamaian antara manusia dengan roh-roh. Korban perdamaian melibatkan penyembelihan bintang seperti ayam, babi atau kerbau.
Kepercayaan kepada Bambarazon(semangat padi) salah satu lagi aspek penting dalam kepercayaan kaum Rungus. Semangat padi dipercayai memiliki kuasa ghaib yang dapat menyuburkan padi, menjaga ladang atau sawah padi dan meningkatkan hasil tanaman.[39] Menurut para orang tua, semangat padi harus dihormati dengan mengadakan beberapa upacara memuja semangat padi, jika tidak dilakukan hasil padi akan terjejas.[40] Upacara memuja semangat padi atau Bambarazon sering dikaitkan dengan Pesta Menuai iaitu satu pesta bagi masyarakat Rungus yang dijalankan selepas musim menuai padi. Upacara pemujaan akan dilaksanakan di dua tempat yang berbeza iaitu di ladang dan di rumah.[41]
Di ladang upacara mangatod(menghantar) dilakukan. Setelah selesai menuai padi dan sudah disimpan di tempat penyimpanan dipanggil lingkut(stor penyimpanan padi) tuan punya ladang dan beberapa orang yang lain akan pergi ke ladang menghantar bekalan tepung beras dan tapai. Bekalan akan di makan di ladang oleh kumpulan yang menghantar bekalan makanan tersebut. Bagi Bambarazon, pemilik ladang  menyediakan nasi yang dibungkus daun dan ditinggalkan di ladang.[42]
Pemujaan Bambarazon di rumah akan diadakan secara besar-besaran yang melibatkan satu upacara yang penting yang dipanggil “mamapak. Upacara mamapak ialah upacara pemujaan terhadap semangat padi yang melibatkan korban binatang terutamanya khinzir. Semasa melaksanakan upacara mamapak, barang-barang seperti sirih pinang dan binatang korban biasanya seekor khinzir akan disediakan. Gong akan dipalu semasa Bobolizan menaiki tangga pondok yang dibina untuk melaksanakan upacara mamapak. Semasa mamapak, bobolizan akan menabur beras dan berdoa(rundukan). Selepas upacara pemujaan Bambarazon, binatang yang sudah dipersembahkan akan disembelih dan dimakan oleh penduduk kampung.[43]
Alam sekeliling merupakan teras kepada munculnya kepercayaan masyarakat Rungus. Mereka percaya dengan kuasa-kuasa tersebut yang boleh mengganggu mereka apabila pantang larang yang ditetapkan tidak dipatuhi. Apabila kuasa tersebut terganggu atau diganggu pemujaan harus dilakukan untuk meredakan kemarahan kuasa-kuasa yang tinggal di sekitar mereka dan jika tidak dilaksanakan pemujaan untuk meredakan kemarahan kuasa-kuasa tersebut, bencana akan menimpa seseorang, keluarga atau keseluruhan rumah panjang. Antara malapetaka yang menimpa adalah seperti sakit, meninggal dunia, hasil tuaian yang kurang  dan masalah-masalah lain.
  Kebudayaan Masyarakat Rungus.
Kaum Rungus sama juga dengan masyarakat peribumi Sabah yang lain mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Kebudayaan masyarakat Rungus tradisional antaranya terdiri daripada pakaian tradisi, tarian dan alat muzik. Pakaian tradisi masyarakat Rungus terbahagi kepada dua iaitu satu pakaian khas untuk wanita dan satu pakaian khas untuk lelaki. Pakaian tradisi wanita Rungus dikenali sebagai banat-tapi. Baju disebut sebagai banat dan kain disebut sebagai tapi.[44] Manakala pakaian tradisi bagi kaum lelaki Rungus pula dikenali sebagai badu-masap. Baju kemeja tenunan lengan panjang dipanggil sebagai badu dan seluar panjang dibesarkan pada bahagian pinggang disebut masap.
Pakaian tradisi wanita dan lelaki selain pakaian banat-tapi dan badu-masap, terdapat aksesori tambahan yang turut diguna bersama iaitu bagi pakaian wanita, aksesori tambahan adalah sisingal dan rampai dipakai di bahagian kepala, tinggot, sulau, pinakol dan sulau dipakai di bahagian badan, satu, golinsung dan saring dipakai di bahagian tangan, orot di pakai di bahagian pinggang dan lungkaki di kenakan pada kaki.[45] Bagi kaum lelaki aksesori tambahan yang dipakai adalah sigal untuk menutup kepala, tingot dipakai di leher, pinakol dan inavol dipakai di bahagian badan, sandai dan hokos dipakai di bahagian pinggang.[46]

Suku kaum Rungus terkenal dengan tarian tradisional dikenali sebagai mongigol dan sumundai. Mongigol tarian bagi lelaki dan sumundai tarian bagi perempuan, namun tarian ini dijalankan secara serentak iaitu lelaki akan mendahului tarian dan diikuti oleh empat atau lebih penari perempuan.[48] Tarian mongigol dan sumundai akan diiringi oleh paluan gong yang dimainkan oleh pemalu gong terdiri daripada enam atau tujuh orang.  Alat muzik tradisi kamu Rungus pula adalah gong dan sehingga kini masih digunakan. Malah terdapat sebuah kampung yang menghasilkan gong di Kudat yang dikenali sebagai kampung Sumangkap. Gong masyarakat Rungus terdiri daripada tujuh jenis iaitu, koritikon(canang), sandangau(canang), pompom, soludon, tongikon(tavag), hungkodonan(tavag) dan bimbingan(Tavag).[49]
Selain daripada pakaian, tarian dan alat muzik, kaum Rungus masih lagi mempunyai kebudayaan yang lain seperti perkahwinan tradisi, tetapi sudah terlalu jarang diamalkan pada masa kini, Pesta Menuai, budaya minum tapai dan rumah panjang. Oleh itu, masyarakat Rungus mempunyai kebudayaan yang tersendiri sejak wujudnya kaum tersebut di Sabah. Malah masyarakatnya sedaya upaya memelihara budaya warisan yang ada agar tidak ditelan oleh kemodenan.
 Ekonomi Masyarakat Rungus.
Suku kaum Rungus pada masa dahulu adalah petani secara tradisi yang dipanggil mutagad atau mongumo(berladang atau berkebun).[50] Aktiviti pertanian pindah dijalankan di hutan primer atau sekunder  yang telah diterangkan terlebih dahulu. Dua tanaman makanan yang utama ialah padi dan jagung.[51] Sekitar 70 peratus tanaman masyarakat ialah tanaman kering atau padi bukit yang biasanya ditanam di cerun bukit kawasan Kudat dan Matunggung. Musim penanaman padi dan jagung berlaku secara serentak dan tanaman itu juga ditanam dalam satu kawasan ladang yang sama.

  
Aktiviti pertanian etnik Rungus bermula dari Julai setiap tahun dan berakhir pada bulan April pada tahun berikutnya.[53] Pada bulan Julai tapak pertanian dipilih dan kerja menebang pokok dilakukan pada bulan Ogos. Pokok-pokok yang ditebang dibiarkan kering pada bulan September, kemudiannya pada bulan Oktober pokok-pokok yang sudah kering akan dibakar. Pada bulan yang sama juga tanaman seperti jagung dan sayur-sayuran akan ditanam.[54] Dari bulan November hingga Disember, aktiviti merumput dan membina pondok kecil(sulap) menjadi kerja yang utama. Kegiatan lain dalam tempoh Januari hingga Mac ialah menghalau burung Pipit yang memakan padi. Kerja-kerja pertanian kaum Rungus khususnya penanaman padi dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut tempoh masa tertentu.
Kepentingan ekonomi pertanian khasnya tanaman padi dalam kalangan kaum Rungus tradisional dapat dilihat dengan wujudnya kalendar yang berasaskan kepada musim-musim penanaman padi. Musulim Guntang Ketua Anak Negeri Daerah Kecil Matunggung, dalam kertas kerjanya yang bertajuk “Kalendar dan pantang larang bercucuk tanam mengikut adat suku kaum Rungus” telah menyenaraikan musim penanaman padi kaum Rungus yang disesuaikan dengan kalendar antarabangsa.[55] Kaum Rungus menggunakan perkataan “ontok” yang membawa makna musim atau bulan dalam bahasa Melayu.

          Jadual 2.1:  Kalendar kaum Rungus berdasarkan musim penanaman padi.
Bulan
Kalendar Rungus berdasarkan musim(Ontok) penanaman padi
Kalendar antarabangsa
Satu
Ontok Mangagang
Jun
Dua
Ontok Rumilik
Julai
Tiga
Ontok Tumutud
Ogos
Empat
Ontok Mangasok
September
Lima
Ontok Mongimvalahan
Oktober
Enam
Ontok Monginsakot
November
Tujuh
Ontok Monguvak
Disember
Lapan
Ontok Mongintoguli
Januari
Sembilan
Ontok Moniim-Tiim
Februari
Sepuluh
Ontok Lotoyng Mongomot
Mac
Sebelas
Ontok Mongulok
April
Duabelas
Ontok Monuhut/Kokotuai.
Mei
 
Musim penanaman padi kaum Rungus bermula pada bulan Jun, bersamaan dengan bulan satu atau musim mangagang. Mangagang bermakna meninjau, mengenal pasti dan menandai lokasi yang akan dijadikan ladang untuk penanaman padi sebagai kerja-kerja awal mulanya musim penanaman padi bukit atau huma.[56] Rumilik membawa erti menebas kawasan ladang yang telah di tanda sebagai kawasan penanaman padi huma, berlangsung pada bulan Julai. Seterusnya aktiviti tumutud  iaitu membakar kawasan ladang yang sudah di tebas dalam bulan Ogos.[57] Bulan mangasok pula adalah musim untuk menugal atau menanam padi huma dan dilakukan pada bulan September dalam kalendar antarabangsa.[58] Selepas mangasok, musim mongimvalahan akan berlangsung kemudiannya disusuli dengan musim monginsakot. Kedua-dua musim ini jatuh pada bulan Oktober dan November. Mongimvalahan dan monginsakot bermakna merumput tetapi bezanya ialah mongimvalahan mencabut tumbuh-tumbuhan yang merayap dan sukar dicabut yang dikenali sebagai “Valahan”. Manakala Monginsakot pula ialah mencabut rumput-rumput yang sudah panjang untuk mengelakkan padi dilindungi oleh tumbuhan.[59]
Monguvak, mongintoguli, moniim-tiim, mongomot, mongulok dan monuhut atau kokotuai berlangsung dari Disember hingga Mei bersamaan dengan bulan ke Ketujuh hingga bulan Keduabelas dalam kalendar Rungus. Monguvak ialah memetik buah jagung yang sudah tua, mongintoguli aktiviti merumput untuk kali kedua bagi mengelakkan rumput menutupi padi dan menyebabkan tikus memakan padi tersebut. Moniim-tiim bererti buah padi yang baru mula menguning, berlaku pada bulan Februari dan pada fasa ini persiapan untuk menuai padi akan dibuat.[60] Memotong pula bermakna menuai padi yang dilakukan pada awal bulan Mac hingga pertengahan April. Mongulok bererti menanggalkan biji padi dari tangkainya dengan cara memijak-mijak tangkai padi yang telah siap dituai.
 Akhir musim penanaman padi kaum Rungus ialah pada bulan Mei bersamaan dengan bulan Dua belas kalendar Rungus iaitu pada musim monuhut atau kokotuai yang bermakna lepas menuai padi.[61] Selepas menuai padi, Pesta Menuai akan diadakan sebagai tanda kesyukuran terhadap hasil padi yang telah diperoleh. Berdasarkan kalendar kaum Rungus yang berasaskan musim penanaman padi, bulan satu kaum tersebut bermula pada Jun dan berakhir pada bulan Mei bersamaan dengan bulan Dua belas kalendar Rungus.
Selain tanaman padi dan jagung, orang Rungus turut menanam tanaman lain seperti sayuran yang hanya digunakan untuk keperluan sendiri. Kegiatan lain masyarakat Rungus adalah menangkap ikan dan memburu binatang.[62] Menurut Appell, kerja menangkap ikan terutamanya dilakukan dengan menggunakan perangkap dan pencedok berbentuk bakul di samping menggunakan pancing dan tuba. Kerja memburu dilakukan bila-bila masa sahaja terutamanya ketika musim aktiviti pertanian tidak begitu ketat.[63] Antara binatang yang selalu diburu ialah babi hutan, rusa, kancil, musang dan sebagainya.
Ringkasnya, aktiviti ekonomi tradisional kaum Rungus berbentuk sara diri dengan tujuan menjaga kestabilan bekalan makanan yang mencukupi untuk digunakan oleh sebuah keluarga sehingga musim menuai padi pada tahun yang berikutnya. Kegiatan seperti menangkap ikan dan memburu binatang dilakukan untuk menambah bekalan makanan seharian. Untuk mendapat keperluan lain masyarakat Rungus akan menukar barangan dengan penduduk sekitar. Selain itu, orang Rungus sentiasa mempunyai bekalan binatang ternakan seperti babi, ayam, itik dan kerbau untuk keperluan rumah dan upacara simbolik.[64]


[1] Rosnah Ismail (2004). Hubungan Kesulitan Ekonomi dengan Kefungsian Keluarga, Hubungan Perkahwinan dan Tingkah Laku Keibubapaan Etnik Rungus, Iranun dan Melayu. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm. 68.
[2] Ibid., hlm. 68.
[3] Jailis Masarip (1990). “Pemodenan dalam Masyarakat Rungus: Satu Tinjauan Khusus di Kampung Pantai, Pitas.” Kertas Projek untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera. Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 15.
[4] Arena Wati (1978). Peribumi Sabah. Kota Kinabalu: Penerbit Yayasan Sabah, hlm. 9.
[5] Ibid., hlm 9.
[6] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm.  9.
[7] Charles Manji. “Ke Mana Tujunya Suku Kaum Rungus di Sabah.” Dalam Borneo Mail. 15 Januari 1997, hlm. 12.
[8] Rosnah Ismail (2004). Hubungan Kesulitan Ekonomi dengan Kefungsian Keluarga, Hubungan Perkahwinan dan Tingkah Laku Keibubapaan Etnik Rungus, Iranun dan Melayu. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm.  69.
[9] Ismail Hj. Mansor. “Rumah Panjang Asli Rungus Mungkin Pupus ditelan Zaman.” Dalam  Borneo Buletin, 6 May 1989, hlm 25.
[10] Lee Yong Ling dalam Jotoris Rumunzin (2002). “Rumah Panjang dan Masyarakat Rungus: Satu Kajian Kes.” Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 18.
[11] Ibid., hlm. 9.
[12] Rumah panjang masyarakat Rungus yang terdapat di kampung Barambangon. Gambar diambil sekitar 1960an.
[13] Rosnah Ismail (2004). Hubungan Kesulitan Ekonomi dengan Kefungsian Keluarga, Hubungan Perkahwinan dan Tingkah Laku Keibubapaan Etnik Rungus, Iranun dan Melayu. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm. 73.
[14] Jotoris Rumunzin (2002). “Rumah Panjang dan Masyarakat Rungus: Satu Kajian Kes.” Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 19
[15] George N. Appell(2000). The Rungus Dusun of Sabah, Malaysia. Dalam Leslie E. Sponsel (2000). Endangered People of Southeast and East Asia Struggles to Survive and Thrive. London: Greenwood Press, hlm. 199.
[16] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 10-11.
[17] http://www.sabah.edu.my/itls07013/kebudayaan_rumahpanjang.
[18] Jotoris Rumunzin (2002). “Rumah Panjang dan Masyarakat Rungus: Satu Kajian Kes.” Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 19.
[19] Sabihah Osman (1985). Pentadbiran Peribumi Sabah 1881-1941. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sabah, hlm. 11.
[20] Jotoris Rumunzin (2002). “Rumah Panjang dan Masyarakat Rungus: Satu Kajian Kes.” Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 23.
[21] Sabihah Osman (1985). Pentadbiran Peribumi Sabah1881-1941. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia-Yayasan Sabah, hlm. 12.
[22] Jotoris Rumunzin (2002). “Rumah Panjang dan Masyarakat Rungus: Satu Kajian Kes.” Kertas Projek Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, hlm. 23.
[23]Daniel Oduhau (1997). “Kristiologi dalam Gereja Protestan di Sabah(PCS): Mengenai Kristus di Kalangan Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Bachelor of Theology, Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 26.
[24] Rev. Traugott Forschner merupakan salah seorang mubaligh barat yang berasal dari Jerman yang di hantar bertugas oleh Basel Mission di Kudat untuk menyebarkan Injil dalam kalangan Masyarakat Rungus. Beliau telah menulis buku Usuran do Gorija Sompomogunan om Usuran do Gorija Protestan Sid Sabah(Sejarah Gereja Dunia dan Sejarah Gereja Protestan di Sabah). Buku tersebut ditulis dalam bahasa Rungus dan pengkaji akan menterjemahkan bahasa tersebut ke bahasa Melayu untuk mudah difahami.
[25] Rev. Traugott Forschner (1993). Usuran do Gorija Sompomogunan om Usuran do Gorija Protestan Sid Sabah. Kudat: Syarikat Perusahaan Percetakan TEP, hlm. 91-92.
[26] Mat Zin Mat Kib (2003). Kristian di Sabah 1881-1994. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 28.
[27] Ibid., hlm. 28.
[28] Kinoringan atau Minamangun bermakna Tuhan yang menciptakan segala yang ada di dalam dunia.
[29] Rosni Mapaun (1993). “Orang Rungus Kampung Kandawayaon Kudat Sabah: Beberapa Aspek Budaya.” Kertas Kajian untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 191.
[30] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 16.
[31] Rosni Mapaun (1993). “Orang Rungus Kampung Kandawayaon Kudat Sabah: Beberapa Aspek Budaya.” Kertas Kajian untuk Ijazah Sarjana Muda Sastera. Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 192.
[32] Ibid., hlm. 193.
[33] Ibid., hlm. 193.
[34] Ibid., hlm. 194.
[35] Daniel Oduhau (1997). “Kristiologi dalam Gereja Protestan di Sabah(PCS): Mengenai Kristus di Kalangan Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Bachelor of Theology, Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 26.
[36] Jaikop Agasak (1994). “ Pengaruh Iman Kristian di Tengah-tengah Agama Suku Kaum Rungus Daerah Kudat, Sabah.” Kertas Kajian untuk Bachelor of Theology, Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 35.
[37] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 16-17.
[38] Daniel Oduhau (1997). “Kristiologi dalam Gereja Protestan di Sabah(PCS): Mengenai Kristus di Kalangan Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Bachelor of Theology, Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 26.
[39] Dayu Sansalu (2008). Kadazandusun di Sabah Pendidikan dan Proses Pemodenan 1881-1967. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 92.
[40] Ibid.,  hlm. 92.
[41]                      Adat Rungus Memuja Semangat Bambarazon.” Dalam Borneo Bulletin, 20 September 1990, hlm. 28.
[42] Ibid., hlm. 28.
[43] Ibid., hlm 28
[44] Ismail Ibrahim (2007). Warisan dan Corak Etnik Sabah. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm. 32.
[45] Ibid., hlm. 34.
[46] Ibid., hlm. 40.
[47] Gambar diambil oleh mubaligh Basel Mission sekitar tahun 1970-an.
[48] Shariffah Hudah Bte Sharif Ali (2001). “Gong dalam Masyarakat Peribumi di Sabah Kajian Kes Dusun Rungus.” Kertas Projek untuk Ijazah Sarjana  Muda Sastera. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm. 69.
[49] Ibid., hlm. 69.
[50] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm, 12.
[51] Ong Puay Liu (2008). Packaging myths Packaging Myths for Tourism the Rungus of Kudat.  Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia, hlm. 103.
[52] Gambar diambil sekitar 1960-an. Gambar (a) merupakan ladang yang baru dibakar dan menanti untuk dibersihkan sebelum menanam padi dan jagung dan gambar (b) ialah padi yang sedang dituai di kawasan ladang.
[53] Rosnah Ismail (2004). Hubungan Kesulitan Ekonomi dengan Kefungsian Keluarga, Hubungan Perkahwinan dan Tingkah Laku Keibubapaan Etnik Rungus, Iranun dan Melayu. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm. 74.
[54] Ibid., hlm. 74.
[55] Musulim Guntang (2009). “Kalendar dan Pantang Larang Bercucuk Tanam Mengikut Adat Suku Kaum Rungus”. Kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar adat istiadat kaum Rungus. Anjuran Mahkamah Anak Negeri Daerah Kecil Matunggung pada 3-5 Ogos 2009, hlm. 1.
[56] Ibid., hlm. 1.
[57] Ibid., hlm. 1.
[58] Ibid., hlm. 1.
[59] Ibid., hlm. 1.
[60] Ibid., hlm. 2.
[61] Ibid., hlm. 2-3.
[62] Torido Bin Rumanggong (1999). “Pembenaran Menurut Surat Roma dan Implikasinya Terhadap Kepercayaan Tradisi dan Iman Kristian Suku Rungus.” Kertas Kajian untuk Ijazah Bachelor of Theology. Seminari Teologi Sabah, Kota Kinabalu, Sabah, hlm. 13.
[63] Appell dalam Rosnah Ismail (2004). Hubungan Kesulitan Ekonomi dengan Kefungsian Keluarga, Hubungan Perkahwinan dan Tingkah Laku Keibubapaan Etnik Rungus, Iranun dan Melayu. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah, hlm. 75.
[64] Ong Puay Liu (2008). Packaging Myth for Tourism the Rungus of Kudat. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia hlm. 104.